KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat pada jelajah Kembara Kenali Borneo, petang semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa terharu dengan kehadiran ribuan rakyat yang menyambut ketibaan Baginda berdua.

Beliau berkata Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terharu dengan sambutan rakyat yang meluangkan masa seawal 12 tengah hari serta sabar menanti di sepanjang 34 kilometer perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan untuk bertemu dan bersalaman dengan Baginda berdua.

“Walaupun Yang di-Pertuan Agong memandu sendiri kereta dengan ditemani Raja Permaisuri Agong mengambil masa selama hampir enam jam ke hotel penginapan, Baginda berdua amat gembira kerana dapat menyantuni rakyat di sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa lebih kurang 30 minit.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong juga amat terharu dengan semangat yang ditunjukkan oleh rakyat di hari pertama Baginda berdua berangkat tiba di Sabah bagi merealisasikan impian Baginda menelusuri Sabah dan Sarawak, bermula hari ini di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13 Sept 2023 kelak,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

- Bernama