BUTTERWORTH: Seorang ahli perniagaan didakwa di dua mahkamah berasingan hari ini atas lima pertuduhan mendorong dan menerima wang berhubung pelaburan yang tidak wujud berjumlah hampir RM1.3 juta.

G. Chandrasegaran, 57, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Majistret Siti Zulaikha Nordin.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa menerima wang deposit RM820,000 daripada Sevanasparan Manikam tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No 3, Lorong Teratai Indah, Daerah Seberang Perai Utara pada 28 Dis 2017 mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang boleh didenda tidak melebihi RM50 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Chandrasegaran diikat jamin RM35,000 dan diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun, manakala Chandrasegaran diwakili peguam R. Arvend.

Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret pula, lelaki itu secara tidak jujur telah mendorong mangsa yang sama untuk menyerahkan wang tunai RM180,000 bagi menyertai pelaburan yang tidak wujud di hadapan Pejabat Suria Active Resources Sdn Bhd, Jalan Raja Uda di sini pada 28 Jan 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Chandrasegaran secara tidak jujur telah mendorong mangsa yang sama untuk memasukkan wang tunai RM40,000 ke dalam akaun Maybank bagi menyertai pelaburan yang tidak wujud di Maybank Cawangan Bagan di sini pada 1 Feb 2018.

Menurut pertuduhan ketiga, tertuduh secara tidak jujur telah mendorong mangsa yang sama untuk memasukkan wang tunai RM20,000 ke dalam akaun Maybank bagi menyertai pelaburan tidak wujud di Maybank Cawangan Jalan Ong Yi How di sini pada 2 Feb 2018.

Dalam pertuduhan berasingan, Chandrasegaran secara tidak jujur telah mendorong mangsa yang sama untuk menyerahkan wang tunai RM235,000 bagi menyertai pelaburan yang tidak wujud di hadapan RHB Cawangan Kampung Gajah di sini pada 5 Mac 2018.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Arvend memohon jaminan paling minimum memandangkan tertuduh merupakan penanggung tunggal dalam keluarga, mempunyai empat anak dan tiada rekod jenayah lampau selain mempunyai penyakit asma, diabetes kronik serta sakit tulang belakang.

Majistret Siti Zulaikha kemudian membenarkan tertuduh jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes disebut semula pada 26 April ini untuk serahan dokumen.