KUALA LUMPUR: Seorang ahli politik pembangkang Bangladesh akan mengemukakan keterangan seorang saksi pakar dari negara itu bagi menyokong permohonan habeas corpus atau penahanan salah yang difailkannya.

Peguam Kee Shu Min yang mewakili M.A Quayum, 61, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa keterangan saksi berkenaan yang merupakan seorang peguam akan diikrarkan melalui afidavit kepada mahkamah dalam tempoh tiga minggu.

“Setakat ini hanya seorang saksi pakar dan pemohon sendiri (Quayum) mengikrarkan afidavit dan jika perlu kami akan memasukkan afidavit pihak-pihak lain yang berkaitan,” kata peguam itu.

Beliau berkata anak guamnya kini dibebaskan melalui pas khas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen selepas mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan Quayum untuk menangguhkan penghantarannya ke negara itu sementara menunggu permohonan habeas corpus selesai.

“Pas itu diperbaharui setiap bulan dan akan tamat tempoh esok. Sehubungan itu pihak kami mohon mahkamah mengeluarkan notis perbicaraan bagi memudahkan urusan pembaharuan pas khas di imigresen,” katanya.

Hakim K.Muniandy kemudian membenarkan permohonan itu dan menetapkan 3 Julai ini untuk pendengaran permohonan habeas corpus.

Ahli politik dari Bangladesh Nasionalist Party (BNP) itu yang memfailkan permohonan habeas corpus pada 15 Jan lepas sedang memohon perintah mahkamah supaya dia dibebaskan.

Menerusi afidavit sokongan, anak perempuan kepada Quayum berkata bapanya selaku pemohon yang menetap di Malaysia sejak 2015 dan mempunyai pasport serta merupakan seorang pemegang visa Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 12 Jan lepas.

Beliau mendakwa tangkapan itu bertujuan untuk menghantar bapanya pulang secara paksa ke Bangladesh dengan segera dan operasi penahanan secara rahsia itu tidak mengikuti undang-undang seperti Akta Ekstradisi.

Anak pemohon mendakwa keselamatan bapanya akan terancam dan bakal menghadapi penganiayaan politik sekiranya dihantar pulang ke Bangladesh.