BIDOR: Projek pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim yang bernilai RM32 bilion akan memberi impak positif pada harga dan pembangunan hartanah di Batang Padang dan Bidor.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Tanjong Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana sebanyak 370,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP) mengambil inisiatif menyediakan projek perumahan baharu bagi menampung permintaan tinggi di daerah itu.

Tambah beliau, projek mega AHTV sudah tentu menuntut ketersediaan unit kediaman yang mencukupi bagi menampung permintaan perumahan dalam jangka masa panjang.

“Selain itu, ia adalah sebahagian daripada aspek penting yang akan mempengaruhi pembangunan sosial masyarakat di kawasan sekitarnya sejajar dengan perkembangan semasa menerusi pelbagai projek yang sedang rancak dilaksanakan di kawasan ini (Bidor),“ katanya ketika berucap pada majlis Perasmian Projek Perumahan dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri A. Sivanesan dan Pengarah Urusan Demi Hartajaya Sdn Bhd Vincenns Lim.

Saarani berkata projek perumahan melalui kerjasama awam – swasta yang dilaksanakan itu boleh diperkasakan untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui projek perumahan untuk rakyat.

“Saya dimaklumkan bahawa pembangunan projek perumahan Lakeview Residence@Bidor yang dibangunkan atas tanah milik LPHP telah pun dimulakan pada 20 Okt 2022 membabitkan 64 unit kediaman yang dibangunkan dalam dua fasa dengan 40 peratus daripada keseluruhan unit berkenaan dikhususkan untuk bumiputera.

“Kerjasama antara pihak LPHP dan Demi Hartajaya ini merupakan satu langkah bagi mewujudkan lebih banyak kawasan perumahan khususnya di kawasan subbandar untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat yang ingin memiliki rumah,“ katanya.

Justeru, beliau menyeru pihak pemaju swasta untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui LPHP bagi membangunkan lebih banyak kawasan perumahan di Perak melalui kepelbagaian tawaran perumahan sama ada berkonsepkan rumah mampu milik, mahupun dengan tawaran harga yang berpatutan.