SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat akan memberikan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bagi menambah perkhidmatan bas untuk menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri ini.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya akan memeriksa latar belakang syarikat yang memohon sebelum LPS dikeluarkan.

“Kita memberikan LPS bagi perkhidmatan bas persiaran terutamanya laluan ke pantai timur dan utara yang akan sibuk apabila orang ramai balik ke kampung bagi menyambut Aidilfitri,” kata Ahli Parlimen Seremban itu kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat di sini hari ini.

Pada majlis itu, Loke menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada masjid dan RM1,000 kepada surau dalam kawasan Parlimen Seremban bagi mengadakan program Ramadan.

Beliau turut menyarankan pemimpin masyarakat dan ahli jawatankuasa masjid dan surau supaya menyampaikan mesej mengenai keselamatan jalan raya kepada penduduk setempat menerusi program yang dijalankan sepanjang Ramadan.

Loke berkata berdasarkan statistik kemalangan jalan raya, secara purata 16 hingga 18 kematian direkodkan bagi tempoh dua minggu.

“Angka ini amat menyedihkan, jadi perlu ada kesedaran keselamatan dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.