ISKANDAR PUTERI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua meningkatkan kawalan sempadan terutama di perairan Johor Barat dan Johor Timur bagi mengekang sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan menjelang perayaan Aidilfitri.

Komander PPM Wilayah Dua Johor ACP Muhd Zailani Abdullah berkata sembilan bot ronda dengan kekuatan 72 anggota terlibat dalam Ops Taring Gelora Khas yang dijalankan bermula semalam.

“Berdasarkan faktor geografi dan keluasan panjang perairan negeri ini, kita telah atur langkah penugasan di sempadan terutama di kawasan ‘hotspot’.

“... ia antaranya melibatkan perairan Johor Timur, terutama berhampiran Batam (Indonesia) dan Johor Barat berdekatan Karimun, Indonesia bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya pada sidang media Program Rendezvous Pertemuan di Laut antara Kapal Ronda PPM Wilayah Dua dan Polis Pengawal Pantai Singapura (PCG) di sini semalam.

Turut hadir Komander PCG SAC Cheang Keng Keong.

Muhd Zailani berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan PCG dan bertukar maklumat bagi menjaga keamanan di sempadan.

“Setakat ini kita ada hubungan yang sangat rapat, berkongsi maklumat untuk bertindak diperbatasan sempadan.

“Kerjasama antara kita sungguh harmoni dan tiada masalah timbul dalam kawalan sempadan,” katanya.