SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menjangkakan peningkatan jumlah janaan sisa pepejal antara 15 hingga 20 peratus sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Pengarahnya Hazahar Hashim berkata sehubungan itu, pihaknya akan meningkatkan operasi bagi memastikan kebersihan awam terjaga sepanjang tempoh perayaan dan penduduk turut diingatkan supaya mengumpul sisa pepejal di tempat disediakan bagi melancarkan kutipan oleh pihak konsesi SWM Environment.

“Kita jangkakan memang ada peningkatan, termasuk sisa perabot dan sebagainya...tindakan (kutip sampah) seminggu sebelum dan selewat-lewatnya tiga hari sebelum dan selepas raya. Kita nak pastikan keadaan negeri ini bersih sebelum anak rantau pulang berhari raya,” katanya pada sidang media operasi pungutan sampah Hari Raya di sini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J. Arul Kumar dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Dalam pada itu, Mohd Norlisam berkata sebanyak 1,035 anggota diatur gerakkan pada Hari Raya Pertama dan Kedua dengan 171 lori kompaktor dan lori terbuka bagi kutipan sisa domestik dan sisa pukal, kitar semula dan sisa taman di kawasan perumahan di bawah perkhidmatan SWM Environment.

Beliau berkata SWM Environment juga menyediakan tong sampah mencukupi di 18 pantai di Port Dickson selain menugaskan 64 anggota bagi memastikan kebersihan pantai sepanjang Aidilfitri.

“Penduduk di kawasan perumahan pula diingatkan agar tidak meletakkan halangan seperti kenderaan di sepanjang laluan atau berhampiran tong sampah bagi melancarkan operasi perkhidmatan kutipan sisa sepanjang tempoh tersebut,” katanya.