KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama lancar walaupun terdapat peningkatan jumlah kenderaan di beberapa kawasan setakat 11 pagi tadi.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran trafik di Plaza Tol Gombak (arah Pantai Timur) menunjukkan keadaan lalu lintas lancar dan terkawal selepas berlaku kesesakan sehingga 10 pagi tadi.

“Di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (KLK) trafik agak sesak walaupun kenderaan lebih kurang sama seperti semalam iaitu 178,977 kenderaan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Namun beliau berkata aliran trafik hampir kesemua lebuh raya utama di negara ini bergerak lancar.

Dalam pada itu akaun rasmi X PLUS Trafik memaklumkan beberapa laluan Smartlane sudah diaktifkan bagi memastikan aliran trafik terus lancar bagi perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri ini.

Antaranya laluan Smartlane di KM303.2 hingga KM297.0 arah Utara dari Tapah ke Gopeng, KM194.5 hingga KM184.0 arah Selatan dari Ayer Keroh ke Jasin dan KM8.1 hingga KM6.1 arah Utara dari USJ ke Seafield.