KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Washington, Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) pada 17-19 April, 2024.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataannya hari ini berkata mesyuarat bersama itu merupakan platform membincangkan hal ehwal berkaitan hubungan dua hala dan pelbagai hala Malaysia dengan WBG dan IMF serta negara anggota terbabit.

“Negara-negara anggota juga akan berkongsi pendapat berhubung pelaksanaan strategi dan dasar negara masing-masing bagi menangani isu-isu semasa ekonomi serta kewangan global dalam sidang plenari dan sesi perbincangan semasa Mesyuarat Mengenai Persefahaman Tindakan Iklim Menteri-Menteri Kewangan (CFMCA).

“Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Musim Bunga IMF dan WBG ini penting sejajar dengan komitmen berterusan Malaysia dalam usaha menggiatkan pertumbuhan secara bersama, khususnya perkembangan ekonomi serantau dan global,“ katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata sejajar usaha tindakan perubahan iklim global, Malaysia menyasarkan untuk mencapai keseimbangan melalui pelaksanaan mekanisme penetapan harga bahan api bersesuaian.

Beliau berkata ini bagi mendorong penggunaan tenaga lebih cekap dan peralihan kepada tenaga boleh baharu, namun pada masa sama turut mengambil kira impak sosioekonomi terhadap rakyat.

“Pendekatan ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan amalan lestari tanpa membebankan rakyat,“ katanya.

Selain itu, MOF berkata pada mesyuarat di AS itu, Amir Hamzah akan mengadakan sesi libat urus dengan Agensi-Agensi Penarafan Kredit (CRA) seperti JP Morgan, Standard and Poors (S&P), Moody’s dan Fitch yang diadakan pada sela-sela mesyuarat berkenaan.

Selain berkongsi dan bertukar pandangan dengan ketua delegasi negara-negara anggota lain mengenai perkembangan ekonomi negara dan global menerusi mesyuarat-mesyuarat dua hala dijadualkan, beliau akan turut menemui pegawai kanan IMF dan WBG untuk membincangkan hala tuju program dan aktiviti dilaksanakan di bawah kerjasama Malaysia dengan dua pihak itu.