PETALING JAYA: Andaian kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat dukungan pengundi Melayu iaitu hanya menerima 19 peratus undian kaum itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 November lepas adalah tidak benar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata berdasarkan data analisis awal kajian yang dilakukan mendapati secara keseluruhan gabungan itu menerima sebanyak 31 peratus undian daripada pengundi Melayu, dan data berkenaan akan dikemas kini dalam tempoh seminggu dua lagi.

Katanya jika PH hanya menerima 19 peratus sokongan pengundi Melayu, gabungan itu tidak mungkin mencatat jumlah kemenangan kerusi Parlimen yang banyak pada PRU15.

“Memang ada kawasan yang rendah (sokongan orang Melayu) iaitu di Kelantan dan Terengganu, tapi ada kawasan kita terima lebih 50 peratus undi Melayu seperti di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini petang ini.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan beberapa mesyuarat termasuk mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang turut dihadiri Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Presiden PKR itu juga berkata dengan sokongan rakyat kepada PH serta parti dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti politik lain, beliau yakin pasukan itu dapat mengemudi negara sebagai satu pasukan yang mantap.

“Kalau dikumpulkan (sokongan rakyat) dalam Kerajaan Perpaduan sekarang (PH, BN, GPS, GRS dan parti lain) kita sudah mencecah lebih dua pertiga jumlah keseluruhan undi pada PRU lepas.

Kita yakin kita (Kerajaan Perpaduan) dengan dua pertiga (sokongan) Ahli Parlimen yang mewakili dua pertiga (sokongan) pengundi, kita dapat terus mengemudi negara ini dalam pasukan yang mantap, gunakan ruang yang ada membersihkan budaya rasuah dan pacu ekonomi negara dengan lebih meyakinkan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Turkiye ada menghantar permohonan untuk bantuan susulan bencana gempa bumi yang melanda negara itu.

“Saya sudah arahkan menteri berkenaan segera menyiapkan pasukan dan dikirimkan dalam tempoh segera. Kita hantar pasukan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia) yang terlatih dalam mengendalikan kes seperti ini.

Walaupun Turkiye ada kekuatan (pasukan penyelamat), namun sebagai negara sahabat yang rapat, bantuan kita sangat bermakna,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan 75 anggota SMART bersama peralatan-peralatan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diterbangkan ke Turkiye malam ini.

Gempa bumi kuat dilaporkan melanda wilayah selatan Turkiye, Kahramanmaras pada Isnin dan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang berlaku pada 4.17 pagi (0117GMT) waktu tempatan itu berpusat di Daerah Pazarcik.

Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye itu telah meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di Syria.

Setakat ini Kementerian Luar melaporkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi berkenaan. - Bernama