KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan rakyat dan negara adalah lebih utama berbanding pengalaman peribadi beliau bersama Umno.

“Yang penting menyempurnakan tugas kepada negara, pengalaman peribadi itu penting tetapi dia (ia) tidak boleh mengatasi kepentingan rakyat dan kepentingan negara,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kehadirannya di Perhimpunan Agung Umno 2023 di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata kehadiran di atas platform perpaduan dapat memperkukuhkan kerajaan yang diterajuinya, justeru memberi manfaat kepada rakyat.

“Jadi saya tentunya merasa selesa, senang kerana dah biasa suasana itu (perhimpunan agung Umno) termasuk menghafal lagu (parti itu),” kata beliau.

Terdahulu, Anwar yang berbaju Melayu biru muda dan bersongkok tiba di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 9.05 pagi bagi menghadiri perhimpunan itu.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan Umno.

Ini adalah Perhimpunan Agung Umno pertama dihadiri Anwar selepas beliau dipecat daripada Umno pada 1998 ketika memegang jawatan timbalan presiden parti itu.

Antara yang turut hadir ialah pemimpin parti parti dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran. - Bernama