PHNOM PENH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada rakan sejawatannya dari Kemboja Hun Sen atas sokongannya membawa pulang rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan di negara itu.

Anwar, yang dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Kemboja menyifatkan Kemboja di bawah pimpinan Hun Sen sebagai ‘cemerlang’ dalam memberikan sokongan penuh dan kerjasama bagi menyelesaikan isu penipuan pekerjaan.

“Saya juga mesti merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri (Hun Sen) kerana Kemboja adalah antara negara yang paling membantu apabila kami perlu menangani isu penipuan pekerjaan yang turut menjejaskan rakyat anda, tetapi kemudian anda membantu kami membawa kembali 287 rakyat Malaysia mangsa penipuan pekerjaan.

“Terima kasih banyak, ia amat bermakna kepada ratusan keluarga yang terjejas akibat penipuan ini,” kata beliau pada sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Hun Sen di Peace Palace hari ini.

Dilaporkan bahawa Kementerian Luar telah menerima 572 laporan melibatkan warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ‘penipuan pekerjaan’ di luar negara setakat 20 Feb. Laporan itu diterima melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok (Thailand), Phnom Penh (Kemboja), Vientiane (Laos) dan Yangon (Myanmar).

Berita lanjut akan menyusul. - Bernama