KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melancarkan Op Prihatin sempena Hari Raya Aidilfitri bagi membantu pengguna jalan raya yang terlibat dengan sebarang masalah akibat kesesakan trafik ekoran peningkatan bilangan kenderaan.

Di KEDAH, Pengarah APM Kedah Lt Kol (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata 60 anggota APM ditugaskan dalam operasi berkenaan bermula Jumaat lepas hingga 14 April ini bagi menghadapi sebarang kes kecemasan sepanjang musim perayaan kali ini.

Beliau berkata objektif operasi adalah untuk melaksanakan rondaan dan membantu pengguna jalan raya termasuk mangsa kemalangan, kerosakan kenderaan, mangsa bencana dan lain-lain kecemasan.

“Lokasi rondaan Op Prihatin ini melibatkan jalan utama negeri, jalan persekutuan, kawasan tumpuan pelancong dan hentian rehat.

“Kesemua anggota bersiap siaga 24 jam dan akan bertugas mengikut tiga syif iaitu pagi, petang dan malam,” katanya pada Majlis Pelepasan Op Prihatin Sempena Perayaan Aidilfitri hari ini.

Di TERENGGANU, Pengarah APM Terengganu Lt Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata 96 pegawai dan anggota APM negeri ditugaskan bagi membuat rondaan di jalan-jalan persekutuan menerusi operasi yang bermula Jumaat lepas hingga 9 April untuk fasa pertama dan 12 hingga 14 April untuk fasa kedua.

“Musim raya ini seperti yang kita tahu keadaan jalan terlalu sibuk dan kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu termasuklah bantuan melibatkan membaiki kerosakan kecil pada kenderaan bagi meringankan beban pengguna jalan raya.

“Setakat ini, sebanyak enam kes telah dibantu APM melibatkan 13 mangsa yang terkesan dengan kerosakan kecil pada kenderaan mereka seperti tayar bocor atau kehabisan minyak,“ katanya selepas melancarkan operasi berkenaan di Ibu Pejabat APM Terengganu hari ini.

Mohd Rosman berkata rondaan berkala akan dijalankan di kesemua lapan daerah di seluruh Terengganu bermula 8 pagi hingga 11.50 malam.