KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terperangkap di dalam kereta di Jalan Bukit Bintang di sini malam Isnin (April 22).

Pegawai Operasi APM Kuala Lumpur Lt Shahrul Kamar Mohd Johari berkata dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan baru selesai menukar lampin pakai buang anaknya itu sebelum menutup pintu kereta.

Beliau berkata lelaki warga Korea Selatan yang tidak menyedari kunci kereta berkenaan berada di tangan anaknya kemudian mengunci pintu menyebabkan anaknya terperangkap di dalam kereta susulan isteri dan anak sulungnya berada di luar kenderaan itu.

“Pasukan APM yang menerima panggilan kecemasan kemudian digerakkan ke lokasi dan berjaya membuka pintu kereta berkenaan pada 8.55 malam,“ katanya ketika dihubungi.

Shahrul Kamar berkata APM mengambil masa 10 minit untuk membuka pintu kereta berkenaan dan pemeriksaan kesihatan mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan sihat.