PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan tiga bot dan 40 nelayan termasuk tekong warga Vietnam, kerana menangkap ikan secara haram di perairan negara, menerusi operasi yang dijalankan Selasa lepas.

Pengarahnya Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata kesemua tangkapan dilakukan oleh sebuah kapal penguat kuasa APMM, yang sedang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam dalam Op Damai, Op Naga Barat, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut, pada kedudukan 124 hingga 135 batu nautika dari muara Tok Bali.

Beliau berkata kesemua bot pada awalnya enggan memberi kerjasama dan cuba melarikan diri apabila diarahkan berhenti selepas dikesan berada di perairan negara, namun tindakan pantas pihaknya telah berjaya menahan bot terbabit untuk diperiksa pada pukul 3.49 hingga 5.47 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot pertama mempunyai lima orang kru termasuk tekong manakala bot kedua dan ketiga masing-masing mempunyai 15 dan 20 orang kru warga Vietnam berusia antara 18 hingga 62 tahun.

“Selain tiga bot yang ditahan, kita turut merampas kira-kira 8,700 kilogram hasil laut, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi, serta 2,900 liter bekalan diesel dengan anggaran nilai kesemuanya hampir RM5.4 juta,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali, di sini hari ini.

Beliau berkata proses membawa balik bot tahanan mengambil masa lebih 30 jam sebelum tiba di Jeti Maritim Kelantan, Khamis lepas, kira-kira pukul 1 pagi dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Kesemua nelayan terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala tiga tekong akan disiasat mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

“Manakala, kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.