KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bakal memperoleh tambahan empat helikopter jenis Augusta Westland AW189 medium lift dalam masa dua tahun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perolehan aset baharu ini seiring peranan hakiki agensi itu mengawal perairan negara yang sangat luas dan risiko ke atas mereka yang terdedah kepada semua potensi ancaman termasuk penculikan demi wang tebusan.

“APMM adalah agensi yang sangat penting buat negara, oleh itu hari ini kita menandatangani kontrak untuk membekalkan empat unit helikopter yang dalam masa dua tahun perlu disiapkan oleh syarikat yang memenanginya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Saifuddin Nasution menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Dalam Negeri yang diwakili Ketua Setiausaha Datuk Ruji Ubi dan Galaxy Aerospace yang diwakili Pengarah Urusannya Shamsul Kamar Samsuddin bagi perolehan helikopter berkenaan.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim pula berkata kesemua helikopter, yang bernilai hampir RM530 juta dan dibangunkan oleh syarikat Leonardo Helicopters, akan ditempatkan di Sandakan, Sabah.

“Kita bercadang untuk membuat lapangan terbang ataupun stesen udara maritim di sebelah Sandakan ini,” katanya kepada Bernama pada majlis itu yang berlangsung di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini.

Beliau juga berkata perolehan helikopter baharu itu akan membolehkan APMM mempertingkat pemantauan udara dengan lebih meluas serta melaksanakan operasi mencari dan menyelamat bagi jarak serta durasi yang panjang.

“Ini akan menjadikan APMM mempunyai pegangan sebanyak 10 pesawat termasuk enam sedia ada yang terdiri daripada dua helikopter jenis AW139, tiga helikopter jenis AS365 N3 Dauphin dan sebuah pesawat udara Bombardier CL-415 MP,” katanya.