KUALA NERUS: Sebanyak 131 bot nelayan asing yang dilucut hak telah dilupuskan dengan cara ditenggelamkan di sepanjang perairan Terengganu untuk dijadikan tukun tiruan dalam tempoh 10 tahun ini.

Pengarah Maritim Terengganu Kapten Maritim Muhammad Sufi Mohd Ramli berkata pelupusan itu melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM196.5 juta dan sebahagian besarnya adalah bot nelayan asing dari Vietnam.

“Tahun ini kita jangka akan dapat lupuskan 35 buah lagi bot nelayan asing yang ketika ini masih berada di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Terengganu, PTV Zon Kemaman dan PTV Bukit Datu.

Penenggelaman bot sebagai tukun ini adalah satu inisiatif Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menggalakkan biodiversiti marin serta meningkatkan pelancongan melalui aktiviti rekreasi selam skuba,“ katanya kepada pemberita selepas program pelupusan bot di perairan Pulau Redang, hari ini.

Sebanyak empat bot nelayan asing Vietnam yang ditahan dalam Op Naga Barat dan Op Kuda Laut pada 2020 dilupuskan pada kedalaman 18 meter, kira-kira satu batu nautika dari Pulau Redang.

Dalam pada itu Muhammad Sufi berkata aktiviti pencerobohan nelayan asing yang berkurangan buat masa ini dijangka meningkat selepas musim Tahun Baharu Cina.

“Kita akan tingkatkan kawalan dan rondaan selepas musim raya Cina kerana mereka (nelayan asing) akan kembali aktif selepas mengurangkan operasi pada musim Monsun Timur Laut,“ katanya. - Bernama