Asean digesa kaji, sempurnakan kerangka undang-undang perdagangan pasca-Covid-19

KUALA LUMPUR: Asean disaran terus mengkaji dan menyempurnakan kerangka undang-undang untuk mempermudahkan perdagangan bagi memastikan pengedaran barangan dan rantaian bekalan di rantau ini tidak terganggu, pasca-Covid-19. Saranan itu disuarakan wakil Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara NA merangkap Ketua Delegasi NA Vietnam, Nguyen Manh Tien, dalam mesyuarat maya Jawatankuasa Ekonomi Perhimpunan Agung Majlis Antara Parlimen Asean (AIPA) ke-41, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) pada hari Rabu.

Menurut VNA, Tien berkata pandemik itu bukan hanya krisis perubatan tetapi ia menjangkau lebih daripada itu, iaitu gangguan terhadap pertumbuhan perdagangan dan rantaian bekalan antarabangsa. Beliau berkata kesan pandemik Covid-19 menimbulkan halangan besar kepada ekonomi negara Asean serta aktiviti perdagangan dalaman dan luaran. Katanya, integrasi ekonomi dalam mempromosikan pertumbuhan dan pemulihan sektor berkenaan di negara Asean dan pelaksanaan aktiviti ekonomi digital yang berkesan sangat penting. Langkah itu penting dalam memperkukuh integrasi ekonomi Asean serta kesediaan untuk menghadapi cabaran pandemik. Beliau turut menyarankan polisi pelaburan terbuka, mampan dan bertanggungjawab di rantau ini untuk memastikan keselamatan makanan dan rantaian pertanian, meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu di samping meneruskan pembangunan ekonomi pusingan. Laporan itu juga mengatakan Tien mengesyorkan antara lain supaya komuniti Asean bersatu dalam melaksanakan langkah-langkah lain yang diperlukan untuk mengawal penularan Covid-19 dan mempelajari konsep ‘gelembung perjalanan’ antara ‘negara-negara berstatus hijau’ sebagai inisiatif awal dalam proses membuka semula sempadan. -Bernama