BAGAN DATUK: Kabinet memutuskan sebahagian peruntukan tambahan RM150 juta yang diumumkan semalam, akan digunakan bagi pemasangan jambatan Bailey di kawasan terjejas banjir di Johor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemasangan itu melibatkan kawasan terputus hubungan termasuk di Sekijang, yang memerlukan kerja pembaikan jalan di kawasan tersebut.

“Ahli Parlimennya telah memberitahu saya keperluan untuk jambatan Bailey (di situ).

“Jawatankuasa peringkat daerah mengkoordinasikan akan dapat akan memasang jambatan Bailey ini, sebelum pembaikan dan penaikkan taraf jalan-jalan itu dilakukan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor, dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kerja-kerja pascabanjir di kira-kira 15 sekolah yang terjejas di Johor, sedang dilaksana bagi memastikan pelajar dapat kembali memasuki sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, yang dijadualkan esok.

Beliau meminta ibu bapa supaya bersabar, sekiranya sekolah terlibat masih belum dapat beroperasi dan kerajaan melalui Jawatankuasa Bencana Pusat serta Jawatankuasa Bencana Negeri dan daerah, sedang berusaha mengkoordinasikan kerja pemulihan terbabit.

“Gelombang keenam sekarang di mana banjir termenung sedang berlaku di lima daerah di Johor insya-Allah akan surut, kerana luruhan hujan tidak akan berlaku lagi dan pemasangan pam penyedut air dibuat untuk disalur ke sungai dan ke laut.

“Terdapat penambahan pam berkuasa tinggi untuk kawasan rendah dan pam keluar banjir dengan saliran lebih besar,” katanya.

Pada 6 Mac, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024, yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir. - Bernama