PASIR MAS: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong, satu daripada empat pembekal beras di Kelantan mampu mengedarkan satu tan metrik beras putih tempatan sehari bagi menampung permintaan bahan makan ruji di negeri itu.

Pemangku Pengurus Besar PPK Kangkong Mohd Tarmizi Sulaiman berkata persatuan itu mempunyai rantaian lengkap seperti lesen belian padi, lesen borong dan lesen runcit lesen untuk pengedaran dan penjualan beras putih tempatan.

“Belian sehari di kilang padi PPK Kangkong ialah 300 tan metrik sehari, kilang tersebut menghasilkan 40 tan metrik beras sehari.

“Selepas siap dibungkus kita hantar terus ikut permintaan. Selain jualan kepada peruncit berlesen, kita juga jual terus kepada pengguna,“ katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Mohd Tarmizi berkata dalam tempoh beberapa hari lalu, pihaknya telah jual kira-kira lima tan metrik beras putih tempatan secara terus kepada pengguna di Kedai Peladang PPK Kangkong.

“Pengedaran dan penjualan beras putih tempatan PPK Kangkong di bawah jenama ‘Beras Kangkong’ meliputi kawasan Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

“Setakat hari ini bekalan beras putih tempatan di kawasan tersebut adalah mencukupi, kita tidak mendengar sebarang rungutan mengenai ketiadaan stok bekalan beras,“ katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Min Muda, 63, dari Kampung Bemban Kelar berkata jualan terus di Kedai Peladang PPK Kangkong memberi peluang buat dirinya untuk membeli bekalan makanan tersebut dengan harga lebih murah.

“Saya beli Beras Kangkong seberat lima kilogram dengan harga RM13 di sini. Sebelum ini biasanya saya beli beras putih import tetapi disebabkan harganya yang meningkat sejak beberapa bulan lepas, Beras Kangkong jadi pilihan saya sekeluarga,“ katanya. - Bernama