KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendapati bekalan minyak masak menyusut di pasaran susulan berlakunya pembelian pada jumlah banyak menjelang perayaan Aidilfitri.

Pengarahnya Azman Ismail berkata walaupun trend bekalan semakin menurun pada awal bulan ini, namun sehingga kini bekalan minyak masak dan gula masih ada dalam pasaran termasuk di pasar raya di negeri itu.

“Kami tahu apabila keperluan minyak masak menjadi pilihan tinggi daripada pengguna, ia akan dibeli secara banyak, sekali gus menyebabkan bekalan di pasaran menurun.

“Namun pihak kami akan menambahkan kuantiti sebelum dan selepas perayaan,“ katanya kepada pemberita selepas program jelajah mesra Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata pihaknya menahan dua lelaki dan menyita 4,500 liter diesel bernilai RM9,675 dalam cubaan menyeleweng bahan tersebut di Kampung Tengah, Perupok, Bachok pada 7.50 pagi semalam.

Beliau berkata mereka yang ditahan merupakan lelaki tempatan berusia 40-an dan 50-an dipercayai pemandu serta kelindan lori jenis UD Truck Kuzer berpendaftaran tempatan.

Menurut beliau, berdasarkan pemerhatian suspek dilihat membuat pengisian minyak diesel ke dalam tangki menggunakan pam penyedut yang diubah suai di bahagian belakang lori dilitupi kanvas bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Stesen minyak berkenaan telah ditahan dan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.