GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli berusia setahun dari Pos Balar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rizzan Jefri berkata pesakit Rafifarizi Amin mengalami batuk dan selesema berlarutan selama dua hari diiringi ibunya Tini Alang, 34, menaiki pesawat jenis Mi-17-IV.

Beliau berkata berdasarkan keadaan kesihatan semasa, pesakit juga memerlukan bantuan oksigen.

“Pesakit mengalami masalah paru-paru atau ‘bronchopnemonia’ justeru bantuan awal pernafasan diberikan kepada pesakit sejurus anak kapal tiba di perkampungan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Rizzan, anak kapal terpaksa menempuh hujan semasa penerbangan dan awan berada pada kedudukan rendah di sesetengah kawasan.

“Bagaimanapun penugasan berjaya dilaksanakan dan pesakit dapat diterbangkan dari Pos Balar ke BBP Gua Musang sebelum diserahkan kepada kakitangan kesihatan yang sedang menunggu di sana,“ katanya.

Beliau berkata anak kapal bertolak pulang pada 4.53 petang dan tiba di Subang pada 6.02 petang dengan keseluruhan tempoh penerbangan bagi penugasan tersebut ialah empat jam.