KUANTAN: Seorang buruh warga Indonesia maut dipercayai dipanah petir ketika berada di ladang sawit Felda Jengka 14, Maran semalam.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Mohamad Zamri Mohamad Zaber dalam kejadian sekitar 1 tengah hari itu, mangsa Kamarudin, 40, yang berasal dari Lombok dikatakan bersama rakan sekerja sedang berteduh dari hujan di bawah pokok rambai.

“Namun, kerana masih terkena hujan rakan mangsa telah berpindah di pokok sawit berhampiran sebelum terdengar bunyi kuat dan ternampak cahaya mengenai kepala Kamarudin.

“Mangsa kemudiannya terbaring dan tidak sedarkan diri di tepi pokok rambai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zamri berkata pemeriksaan mendapati terdapat kesan dipercayai panahan petir pada pokok rambai dan tiada sebarang lebam atau luka ditemukan di badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat.

Mayat dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.