PASIR MAS: Cadangan pembinaan zon penampan di sepanjang 99 kilometer sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang aktiviti pemyeludupan di Kelantan sudah dibentang kepada Kementerian Dalam Negeri untuk dipertimbang.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata langkah itu amat penting kerana semua agensi penguatkuasa yang mengawal sempada berdepan masalah penyeludupan.

“Sekiranya zon penampan itu dibina di sempadan Malaysia-Thailand, berkemungkinan kegiatan penyeludupan dapat dikawal dengan baik... ini adalah yang terbaik bagi mengekang sempadan kita daripada digunakan sebagai kawasan penyeludupan,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pertandingan Burung Candik dan Ayam Serama Piala Ketua Polis Kelantan di sini hari ini.

Diminta mengulas isu jeti haram di kawasan sempadan yang sudah tidak digunakan lagi, Muhamad Zaki berkata polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengadakan pertemuan serta berbincang mengenai perkara itu.

“Jeti haram ini ada yang dibina di atas tanah persendirian, jika ia dibina di tanah milik kerajaan, kita akan berbincang dengan PBT untuk mengambil kaedah terbaik bagi mengelakkan ia digunakan bagi kegiatan penyeludupan.

“Jadi kita mengharapkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan sempadan agar tidak membina jeti bagi melakukan kegiatan menyalahi undang-undang,“ katanya. - Bernama