Cadangan Mukhriz sebagai TPM II bukan daripada saya: Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata cadangan menamakan anaknya Datuk Seri Mukhriz (gambar) sebagai calon Timbalan Perdana Menteri II, sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan, bukan datang daripadanya.

Beliau berkata cadangan nama itu sudahpun disebut dalam kenyataan bersama oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng Isnin lepas.

“Saya berada dalam keadaan serba salah. Di waktu saya jadi perdana menteri kali pertama, saya telah larang anak saya daripada bergiat dalam politik, khusus sebagai ahli parti kerajaan.

“Saya tidak hendak dituduh mengamal nepotisme, memberi keistimewaan kepada keluarga saya,“ katanya dalam catatan terbaru di blog chedet.cc, hari ini.

Namun, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata apabila beliau tidak lagi menjadi perdana menteri dan tanggungjawab menjaga namanya tidak sepatutnya dipikul berterusan oleh anaknya dan mereka bebas untuk berpolitik.

“Apabila nama Mukhriz dicadang untuk jawatan-jawatan tertentu, saya tidak ada hak untuk menentang kerana kepentingan diri saya,“ katanya yang sedar dirinya akan dikritik apabila Mukhriz dinamakan sebagai calon jawatan itu. - Bernama