Cakna bantu ibu tunggal bina semula rumahnya yang daif

PASIR PUTEH: Seorang ibu tunggal di Kampung Panggong di sini, bersyukur apabila Pertubuhan Cakna Bantuan Rakyat (PCBR) Pasir Puteh, sudi membantunya untuk membina semula rumahnya yang hampir roboh kerana terlalu usang untuk didiami.

Wan Norhasnida Wan Nordin, 33, berkata rumah kayu peninggalan orang tuanya yang dibina kira-kira 40 tahun lepas telah 50 peratus reput terutama di bahagian atap dan lantai.

“Berikutan itu, saya, empat anak serta tiga anak saudara terpaksa menumpang berteduh di rumah sepupu yang sedang bekerja di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini, hari ini.

Katanya, beliau tidak mampu membaik pulih rumahnya kerana hanya bekerja sebagai pembantu rumah dengan pendapatan kira-kira RM300 sebulan.

“Usahkan nak bina rumah, makan pun tidak cukup. Kadang-kadang kami terpaksa menahan lapar terutama ketika bekalan makanan terputus. Suami saya pula telah meninggal dunia enam tahun lepas.

Wan Norhasnida berkata beliau kini menanggung empat orang anak serta tiga anak saudara yang berusia lingkungan enam hingga 15 tahun.

“Saya terpaksa menjaga tiga anak saudara selepas ayah mereka meninggal dunia lebih 10 tahun lepas. Ibu mereka pula telah berkahwin lain dan kini menetap di Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Cakna Bantuan Rakyat (PCBR) Pasir Puteh, Mohd Nizam Che Mohd Ali berkata pihaknya terpanggil untuk membantu kesusahan keluarga terbabit untuk membina semula rumah berkenaan dengan mengumpul dana kira-kira RM20,000.

“Sekarang ini kami sudah mendapat bantuan permulaan sebanyak RM2,000 untuk membeli bahan-bahan asas seperti simen yang akan dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung,” katanya. — Bernama