KUALA KUBU BHARU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, akan diumumkan pada 25 April (Khamis) ini, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada mesyuarat (Majlis Tertinggi Pimpinan PN) esok, kita akan berbincang calon mana yang paling sesuai atas dasar boleh menang. Kita ada banyak calon, tetapi apa pun mana-mana parti yang ada cadangan nak kemukakan nama calon (lain) kita terima.

“Kita akan nilai siapa calon yang akan dinamakan dari segi kelayakkan akademik dan penglibatan dalam badan bukan kerajaan. Sebaiknya calon yang dikemukakan ialah calon dari kawasan Hulu Selangor dan tempatan, kerana sentimen orang tempatan perlu diambil kira,” katanya dalam sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Pribumi Bersatu di sini hari ini.

Pada pilihan raya negeri tahun lepas, mendiang Lee Kee Hiong daripada DAP berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (Muda), dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 4,119 undi.

Kerusi itu kosong selepas Lee meninggal dunia pada 21 Mac dan pengundian bagi pilihan raya kecil itu akan berlangsung pada 11 Mei, manakala hari penamaan calon pada 27 April.