KUALA LUMPUR: Seorang pengacara dan penyampai berita stesen televisyen tempatan akan dipanggil memberi keterangan pada minggu depan berhubung dakwaannya yang menyifatkan tindakan anggota polis sebagai kasar, sombong dan tidak profesional ketika melakukan pemeriksaan terhadapnya, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata dakwaan dibuat lelaki berusia 30-an itu disiarkan menerusi portal berita dalam talian.

Beliau berkata seorang daripada anggota polis terbabit berusia 42 tahun menerima pautan artikel berkenaan pada 12.30 tengah hari semalam, semasa berada di Pejabat Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

“Beliau dapati artikel itu tidak benar dan menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara amnya serta polis Subang Jaya secara khususnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini tular satu artikel ditulis pengacara terbabit mendakwa dilayan dengan teruk oleh dua anggota polis semasa melakukan pemeriksaan terhadapnya di kawasan perumahan USJ 9 di Subang Jaya, kira-kira 1.30 pagi, 13 Mac lepas.

Wan Azlan berkata siasatan awal mendapati, anggota polis terbabit menjalankan pemeriksaan mengikut undang-undang serta garis panduan ditetapkan dan semakan dapati lelaki tersebut tiada sebarang rekod jenayah.

“Kes itu disiasat mengikut seksyen 504 kanun keseksaan (Akta 574) dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589). Saya meminta orang ramai supaya lebih prihatin dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dalam usaha mencegah jenayah,” katanya.