KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk dua beradik hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan tukul besi terhadap pekerja stesen minyak warga Bangladesh pada Februari lepas.

Dua beradik itu Muhammad Nasrul Wafiy Harizan, 32, dan Muhammad Khairul Anuar, 30, serta rakan mereka Dzulkifli Ahmad, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu terhadap lelaki berusia 49 tahun, yang mengakibatkan kerugian RM5,500 membabitkan 17 kotak rokok, cermin kedai dan wang tunai di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 4.16 pagi, 6 Feb, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Muhammad Nasrul Wafiy dan Muhammad Khairul Anuar serta seorang lagi rakan dua beradik itu, Syazwan Sazali, 34, mengaku tidak bersalah melakukan samun berkumpulan terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun di hadapan sebuah sekolah di Jalan Jambu Jinjang Selatan, Sentul di sini pada 2.20 petang, 24 Mac.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip, manakala peguam Arief Firdaus Ashikin mewakili Muhammad Nasrul Wafiy dan Muhammad Khairul Anuar. Dzulkifli serta Syazwan tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Muhammad Nasrul Wafiy dan Muhammad Khairul Anuar masing-masing diikat jamin berjumlah RM12,000, manakala Dzulkifli serta Syazwan diikat jamin RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Fadzlin Suraya menetapkan 7 Mei untuk sebutan kes.