ALOR SETAR: Dua pemilik syarikat didenda oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Rumzan Othman, 68, dan Anuar Abdul Aziz, 39.

Mohd Rumzan mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan dan didenda RM50,000 bagi setiap pertuduhan, manakala Anuar mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan dan didenda RM50,000.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama Mohd Rumzan dituduh dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun Maybank Islamic Syarikat MRR Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd di sini antara 16 Jan hingga 22 Jan 2019.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rumzan dituduh dengan curang menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun Maybank Islamic Syarikat Hanna Niaga Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender yang sama di tempat yang sama pada 19 Jan 2019.

Sementara itu, Anuar didakwa melakukan perbuatan sama menggunakan penyata akaun CIMB Bank Syarikat LJ Maju Sdn Bhd bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 untuk permohonan tender yang sama di lokasi yang sama pada 21 Jan 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image