JOHOR BAHRU: Dua anggota polis dipercayai melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini membabitkan nilai RM2,000 ditahan, semalam.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata kedua-dua anggota berusia 32 dan 33 tahun yang bertugas di BSI itu, ditahan pada 1.50 tengah hari oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Beliau berkata satu laporan polis diterima pada 12.23 tengah malam semalam (5 April), berhubung seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun mendakwa telah diperas ugut oleh dua anggota terbabit pada Selasa (2 April).

“Siasatan awal mendapati semasa mangsa melalui BSI untuk pemeriksaan imigresen, beliau telah ditahan oleh dua suspek kerana dikatakan mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

“Kemudian, suspek telah memeras ugut mangsa supaya membayar wang berjumlah RM2,000, bagi mengelakkan daripada ditangkap dan ditahan di lokap polis,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kumar berkata hasil ujian saringan air kencing kedua-dua anggota berkenaan ialah negatif daripada segala jenis dadah dan reman terhadap mereka dikenakan selama tiga hari sehingga 8 April, bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.