SHAH ALAM: Dua anggota polis trafik berpangkat Lans Koperal masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan, tiga tahun lepas.

Muhammad Nazmi Baharum, 33, dan Mohammad Alqayyum Hasim, 30, yang bertugas di cawangan penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dengan niat bersama telah meminta suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang lelaki berusia 27 tahun sebagai dorongan tidak menangkap lelaki tersebut yang mempunyai tiga waran tangkap atas kesalahan trafik di bawah jejambat berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dekat sini pada 3.30 petang, 3 Okt 2020.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama telah memperoleh suapan wang tunai RM900 daripada individu sama sebagai dorongan berhubung perbuatan sama di perhentian bas berhampiran sebuah stesen minyak di Balakong dekat sini pada 4 petang, tarikh sama.

Bagi kedua-dua perbuatan tersebut mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rozilah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan pada setiap bulan dan menetapkan 13 Julai untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama