KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menyamun seorang lelaki, wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM242,422 dengan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas Isnin lepas.

C. Sureshkumar, 33, dan N. Siralan, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mereka didakwa melakukan samun berkumpulan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong kertas terhadap J. Melvin Dass, 36, dengan merampas beg galas syarikatnya yang mengandungi wang tunai di sebuah pejabat di kawasan Brickfields pada 11.30 pagi 1 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh, namun peguam Calvin Lim Sin Guan yang mewakili Sureshkumar dan peguam Charanpal Singh yang mewakili Siralan merayu jaminan minimum kerana kedua-dua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 27 Mei ini.