BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM100,000 terhadap dua lelaki warga United Kingdom (UK) kerana memperdaya dua individu dalam sindiket penipuan pelaburan antarabangsa secara dalam talian.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Lloyd George Bedwell, 48, dan Roger Hoi Wing Wu, 46, selepas mereka mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan.

Mahkamah mengenakan denda RM50,000 dan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan setiap tertuduh. Bagaimanapun hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap mereka pada 21 Feb lepas.

Kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas iaitu Jacob Yazdi didakwa memperdaya dua warga Austria, Trevor Ronald John Curtis dan Kimberley John Buist Walker, untuk masing-masing menyerahkan sejumlah AU$8,991.92 dan AU$8,573, dengan jaminan mendapat keuntungan tinggi daripada satu pelaburan jangka masa singkat menerusi pembelian saham di sebuah syarikat yang tidak wujud iaitu Devon Energy Corporation.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 4, Island Plaza Tower, Jalan Tanjung Tokong, Pulau Pinang pada 16 Dis 2022 dan 5 Jan lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Yazdi merupakan pengurus, akan mengarahkan pekerja sindiket di bawah seliaannya iaitu kedua-dua tertuduh untuk membuat panggilan telefon kepada mangsa-mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, Noor Azura Zulkifli dan Afiqa Liyana Rozman manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam V. Muniandy dan A. Ashok.

Sebelum ini, lima warga British dan dua rakyat Filipina merupakan antara 10 individu yang ditahan SPRM dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada 21 Feb lepas berkaitan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa yang turut melibatkan aktiviti pengubahan wang haram dan rasuah.

Mereka ditahan dalam operasi dinamakan Op Tropicana diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM yang menyerbu 24 lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, termasuk tiga pusat panggilan sindiket iaitu dua yang terletak di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image