PUTRAJAYA: Kerajaan terus mempertingkatkan usaha memperkenalkan teknologi hidrogen hijau di Malaysia bagi memastikan sasaran pendapatan RM12 bilion menjelang tahun 2030 menerusi ekonomi hidrogen tercapai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata fokus utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ketika ini adalah untuk mempertingkatkan permintaan, penggunaan dan juga penjanaan hidrogen hijau.

“Sasaran sekarang adalah...kita perlu cipta ‘demand side’ dan ‘supply side’ sebab ini adalah satu ekosistem baharu. Kita perlu tingkatkan dari segi permintaan, penggunaan dan juga dari segi penjanaan ‘green hydrogen’.

“Selain itu, kita dapat meraih manfaat daripada pendapatan ekonomi hidrogen sekitar RM12 bilion menjelang 2030,” katanya pada sidang media selepas majlis demonstrasi penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit (MHRU) dan kenderaan berkuasa hidrogen (Toyota Mirai) di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis tersebut.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata pelaksanaan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) bakal meletakkan Malaysia pada kedudukan yang sangat menguntungkan dalam pasaran global hidrogen hijau yang diunjur mencecah US$189.19 bilion menjelang 2050.

Pelaksanaan HETR dijangka menjana pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan jangkaan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara RM49 bilion dan RM61 bilion menjelang 2030, katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Anwar meluangkan masa menyaksikan demonstrasi penggunaan MHRU dan menaiki kenderaan berkuasa hidrogen jenis Toyota Mirai dari MOSTI ke Pejabat Perdana Menteri di sini.

MHRU merupakan teknologi pengisian semula hidrogen ke dalam kenderaan dengan hidrogen menggantikan bahan api fosil. MHRU juga bersifat mudah-alih yang membolehkannya dipindahkan ke lokasi yang berbeza mengikut keperluan semasa.

Kenderaan Toyota Mirai adalah kenderaan jenis elektrik sel bahan api (Fuel Cell Electric Vehicle – FCEV) yang menjana elektrik menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan, menggunakan air sebagai hasil sampingan tanpa sebarang pelepasan karbon.

Chang berkata MHRU akan dilancarkan di Putrajaya pada akhir tahun ini sebagai salah satu langkah untuk mempertingkatkan lagi pengetahuan masyarakat mengenai teknologi hidrogen.

“Penggunaan hidrogen adalah sangat penting kerana ia akan membantu menghasilkan tenaga yang lebih bersih,” katanya.

Mengenai kenderaan hidrogen, beliau memberitahu ia mempunyai beberapa kekuatan utama antaranya dari segi pengisian, jarak perjalanan dan berat kenderaan itu.

“Masa pengisian (kenderaan hidrogen) adalah pendek antara tiga hingga lima minit sahaja untuk satu pengisian penuh. Jarak (perjalanan) pula lebih jauh 700 hingga 1,000 kilometer untuk sekali pengisian dan berat kenderaan ini adalah lebih ringan,” katanya.