ALOR SETAR: Takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) masih pada paras selesa dan mencukupi, bagi menampung keperluan sumber air pengairan aktiviti tanaman padi dan kegunaan domestik, sepanjang musim El Nino.

MADA dalam kenyataan hari ini memberitahu sehingga hari ini, jumlah keseluruhan takungan ketiga-tiga empangan MADA ialah 887,920 ekar kaki bersamaan 72.6 peratus.

Kenyataan itu memaklumkan kapasiti takungan Empangan Pedu ialah 625,000 ekar kaki bersamaan 71.43 peratus; Empangan Muda sebanyak 58,750 ekar kaki (47 peratus) dan Empangan Ahning sebanyak 204,170 ekar kaki (91.56 peratus).

“Jumlah turunan hujan di kawasan Muda sehingga semalam, merekodkan bacaan lebih rendah iaitu 59 milimeter (mm) berbanding jumlah purata turunan hujan 20 tahun iaitu 164 mm.

“Orang ramai tidak perlu risau biarpun jumlah takungan air di empangan sedikit berkurangan, namun ia masih memuaskan untuk permulaan aktiviti tanaman padi bagi musim 1/2024, yang akan bermula pada April 2024,” menurut MADA dalam satu kenyataan hari ini.

MADA memaklumkan bahawa pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula, sebagai tindakan penjimatan air dari empangan bagi menghadapi fenomena El Nino, yang dijangka berterusan sehingga Jun.

Menurut kenyataan itu, MADA juga menjalankan operasi pembekalan air pengairan secara penggiliran, mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman, sehingga aktiviti musim 2/2023 selesai sepenuhnya pada penghujung Mac 2024.

“Para peladang dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah, bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan tidak berlaku pembaziran.

“Diingatkan juga agar tidak melakukan aktiviti pembakaran jerami padi secara terbuka yang boleh menyebabkan kenaikan suhu panas dan pencemaran alam sekitar,” katanya.

Kenyataan MADA itu memaklumkan pada ketika ini, status kemajuan aktiviti tanaman padi bagi musim 2/2023 adalah diperingkat penuaian iaitu 77.3 peratus di kawasan Muda sudah dituai, justeru penggunaan air untuk tujuan pengairan adalah pada tahap minimum.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan Pokok Sena berada pada Tahap 2 (Gelombang Haba), iaitu suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.