KUALA LUMPUR: Empat kemudahan atau aset yang dibina hasil sumbangan orang ramai melalui Muslim Care Malaysia (MCM) bernilai RM7.5 juta musnah akibat peperangan di Palestin sejak konflik Israel-Palestin tercetus 7 Okt lepas.

Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata ia membabitkan Masjid Muhammad Al Amin, Kompleks Imigresen Rafah, Pusat Fisioterapi Enaya dan Kompleks Wakaf Palestin.

“Daripada empat aset yang terlibat tiga musnah sepenuhnya manakala hanya kompleks perniagaan (Kompleks Wakaf Palestin) sahaja boleh dibaiki, memandangkan struktur asasnya masih elok dan insya-Allah boleh digunakan.

“Setakat ini kita masih belum rancang untuk memperbaiki kompleks berkenaan dan insya-Allah kerja baik pulih akan dilakukan apabila situasi peperangan di sana reda dan kita juga akan bina semula bangunan-bangunan kita yang musnah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Amal Ramadan (Palestin, Syria dan Yaman) di sini malam tadi yang turut dihadiri bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sementara itu Zulkifli Wahijan berkata majlis malam tadi yang dihadiri kira-kira 500 peserta daripada pelbagai syarikat korporat berjaya mengumpul dana berjumlah RM2 juta.

Menurutnya MCM menyasarkan untuk mengumpul RM5 juta ringgit sepanjang bulan Ramadan ini, yang akan disalurkan ke Palestin, Syria dan Yaman.

“Enam puluh peratus daripada sumbangan diterima akan diberikan kepada Palestin yang ketika ini terus terkesan akibat serangan ganas yang sudah hampir masuk enam bulan.

“Kita juga akan berikan kepada (rakyat) Syria yang sudah lebih 10 tahun berperang akibat konflik dalaman tak berhenti dan juga Yaman yang ketika ini mengalami krisis,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sudah menyalurkan RM3 juta kepada Palestin sepanjang bulan Oktober 2023 hingga Mac tahun ini, meliputi bantuan musim sejuk dan makanan.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490211159 atau Bank Islam 14014010147470.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image