KUANTAN: Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah kuil di Raub, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abd Rahman berkata kesemua lelaki berusia antara 23 dan 44 tahun itu ditahan di sekitar daerah berkenaan kira-kira 8 malam hari sama.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada 2.46 petang sebelum sepasukan polis ke tempat kejadian bagi mengawal situasi itu dan mendapati punca pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki terdiri daripada 10 hingga 15 orang.

“Terdapat individu yang ingin mengeluarkan kenderaannya dari kawasan kuil itu, namun laluan terbabit telah terhalang dengan deretan kenderaan lain.

“Situasi itu kemudian menyebabkan pertengkaran mulut sehingga berlaku pergaduhan serta merosakkan dua kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Shahril kejadian turut mengakibatkan tiga lelaki cedera dan dirawat di Hospital Raub.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek lain sedang giat dijalankan.