HANOI: Pemain golf Ervin Chang mencipta sejarah hari ini dengan muncul selaku wakil Malaysia pertama memenangi pingat emas individu lelaki di Heron Lake Golf Course & Resort, di sini.

Atlet berusia 24 tahun itu menjuarai acara itu selepas menewaskan Amadeus Susanto Christian (70-71-68) dari Indonesia dalam perlawanan “playoff” tiga lubang selepas kedua-duanya terikat pada kedudukan tujuh di bawah par 209 selepas mengharungi tiga pusingan.

Ervin, yang berhasrat menamatkan zaman amaturnya dengan menceburi bidang profesional, bangkit daripada permulaan yang perlahan, satu di atas par 73, mengumpul lima di bawah par 67 dan tiga di bawah par 69 dalam dua pusingan seterusnya sementara wakil Thailand Weerawish Narkprachar (68- 72-70) membawa pulang gangsa dengan enam di bawah par 210.

“Terima kasih di atas sokongan dari Malaysia dan juga di sini di Vietnam, bersorak untuk saya. Saya mahu terus menang tetapi terpaksa melalui ‘playoff’ tetapi saya amat gembira dan bangga untuk memenangi pingat emas untuk Malaysia selepas 21 tahun,” katanya.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara individu semasa Airil Razman dan Gavin Green masing-masing membawa pulang perak pada edisi 2001 dan 2013.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas ialah pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 menerusi acara berpasukan lelaki dianggotai Airil Rizman Zahari, S. Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin.

Bagi lain-lain wakil Malaysia dalam kelompok 35 pemain, menyaksikan Marcus Lim Pan Chuen (75-73-72) dan A Nateeshvar (74-70-76) berkongsi kedudukan di tempat ke-13 dengan markah keseluruhan empat di atas par 220 sementara K Rhaasrikanesh (75-77-74) berakhir di tangga ke-20 dengan 10 di atas par 226.

Sementara itu, Jeneath Wong (71-71-69) memperoleh gangsa dalam acara individu wanita mengumpul lima di bawah par 211, ketinggalan jauh sembilan pukulan di belakang pemenang emas Natthakritta Vongtaveelap (67-67-68) dari Thailand, sementara wakil Singapura Aloysa Margiela Atienza Mabutas (74-70-65) membawa pulang perak dengan mengumpul tujuh di bawah par 209.

Mirabel Ting Ern Hui (79-69-70) mencatat dua di atas par 218 untuk berada di tempat ketujuh sementara Ng Jing Xuen (84-76-75) memperoleh 19 di atas par 235 untuk mengisi kedudukan ke-15.

Pemain golf negara akan meneruskan kempen mereka dalam acara berpasukan esok. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image