KUALA LUMPUR: Perkhidmatan 94 syarikat pengendali kenderaan barangan digantung selepas mereka gagal dalam proses audit pada tahun 2023, dan ada yang terlibat dengan kemalangan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata setiap kenderaan perdagangan diwajibkan menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) setiap enam bulan sebagai syarat wajib pembaharuan lesen.

“Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang mengingkari peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) yang ingin tahu inisiatif Kementerian Pengangkutan bagi memasang GPS untuk mengawal had laju lori dan memastikan pengendali syarikat kenderaan berat menyelenggara kenderaan mereka mengikut waktu yang sepatutnya.

Menjawab soalan Kapten Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) mengenai penguatkuasaan perundangan terhadap pemandu bawah umur dan tidak mempunyai lesen, Hasbi berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa melaksanakan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang di bawah Akta 333 sentiasa dipatuhi.

“Dalam hubungan ini JPJ boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang membenarkan remaja di bawah umur memandu kenderaan motor tanpa suatu lesen memandu yang sah.

“Kesalahan ini boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 39 Akta 333 dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

JPJ menurutnya juga boleh mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan remaja di bawah umur memandu kenderaan motor tanpa suatu lesen memandu yang sah. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image