KUANTAN: Gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah ini sejak semalam menjejaskan ribuan pengguna termasuk operasi beberapa premis pendidikan dan perniagaan.

Tinjauan Bernama mendapati premis perniagaan seperti dobi layan diri dan makanan, selain taska, tadika serta pusat transit pelajar tidak dapat beroperasi seperti biasa kerana kekangan air, namun difahamkan masalah bekalan air di beberapa lokasi telah mula pulih bermula 11 pagi tadi.

Petugas Tadika dan Taska Seri Permai di Pelindung, Nurhaslinda Abd Razak, 35, berkata pemilik terpaksa membuat keputusan untuk menutup operasi hari ini selepas tiada bekalan air sejak tengah hari semalam di premis tersebut.

Beliau berkata ibu bapa kanak-kanak berkenaan juga memahami situasi tersebut selepas dimaklumkan menerusi kumpulan WhatsApp mengenai penutupan premis itu awal pagi tadi.

“Air mula tiada tengah hari semalam dan kami terpaksa minta ibu bapa ambil anak mereka awal semalam, sehingga awal pagi ini air masih tiada jadi kami ambil keputusan untuk tutup saja kerana sukar menguruskan kanak-kanak kalau tiada air, malah pusat transit yang menguruskan pelajar dari sekolah berdekatan juga terpaksa tutup hari ini.

“Sekitar 11 pagi tadi air dah ada sedikit dan kami mula tadah untuk kegunaan kelak, namun setakat ini belum diputuskan sama ada untuk beroperasi semula esok atau tidak, ia bergantung kepada tahap bekalan air,“ katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Nurhaslinda yang bertugas di pusat pendidikan berkenaan sejak 2007 berkata ia adalah kejadian kedua premis berkenaan ditutup disebabkan masalah bekalan air selepas 2013.

Bagi pekerja warung D, Bassa (D, Bassa) di Beserah, di sini, Siti Saliza Shabaruddin, 38, berkata premis yang mula beroperasi dari 7 pagi hingga 12 tengah hari dengan menyediakan hidangan sarapan itu terpaksa ditutup selepas masalah bekalan air.

“Setiap hari 5.30 pagi saya dah ke sini untuk memasak, namun pagi tadi apabila sampai air tiada, susah untuk masak dan menerima pelanggan kami terdiri daripada nelayan dan penduduk setempat, jadi pemilik ambil keputusan untuk tutup saja,“ katanya yang memaklumkan warung berkenaan mula dibuka sejak tiga bulan lepas.

Pekerja pembersihan G. Rajamah, 52, yang menetap di Jalan Haji Ahmad, di sini, memaklumkan rumahnya tidak mempunyai bekalan air sejak dua hari lepas dan hanya bergantung kepada air tangki.

“Air tangki pun dah habis, kami lima beranak terpaksa tumpang mandi di rumah kawan yang ada air untuk keluar bekerja dan sekolah, dua hari juga tidak masak dan saya berharap bekalan air segera pulih seperti biasa,“ katanya.

Sementara itu, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam satu notis memaklumkan bahawa berlaku masalah mekanikal pam di Rumah Pam Kobat, di sini dan beberapa kawasan akan mengalami gangguan bekalan bermula 12 tengah malam tadi sehingga diberitahu kelak.

Menurut notis itu, gangguan bekalan air itu melibatkan kira-kira 80, 650 akaun pengguna.

Antara kawasan terlibat seluruh kawasan Beserah sehingga Sempadan Chendor termasuk Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Maritim, Bandar Damansara, Taman Dato’ Rashid, Batu Hitam, Kampung Darat Sekolah, Jeram, Sungai Karang Maju, Aspa Cottage, Jabor, Sungai Karang, Chengal Lempong, Balok, Seberang Balok, Sungai Ular, Pelabuhan, Cherating, Kubang Ikan dan kawasan sekitarnya.

Selain itu, kawasan yang turut terjejas ialah Gebeng Industri FASA I, II, III, MCKIP, seluruh kawasan Pelabuhan dan kawasan sekitarnya serta kawasan Jalan Jabor, Kampung Alor Batu Jabor, Jalan Semambu, Politeknik Semambu, kawasan perumahan Semambu, kawasan Industri Semambu, Jalan Beserah, Tanjung Api dan Taman Gelora.

Seluruh kawasan Taman Fairmount, Bukit Beirut, Jalan Bukit Setongkol, Bukit Setongkol, Cenderawasih dan sekitarnya turut terlibat. - Bernama