KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan geng Ayoi yang aktif menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah Hulu Selangor dan Gombak dekat sini selepas menahan tiga lelaki dipercayai anggota kumpulan itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata ketiga-tiga suspek yang berumur 23 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuang pada 3 pagi dan pihaknya turut merampas motosikal jenama Honda RSX, dua topi keledar, sehelai baju berwarna hitam serta sepasang kasut.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah. Ujian air kencing pula mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Tetrahydrocannabinol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal percaya dengan tangkapan itu polis telah menyelesaikan sembilan kes samun di Hulu Selangor dan Gombak.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu direman enam hari bermula semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan dadah kepada pihak polis supaya tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya.