KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menyatakan pendirian untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (foto) sebagai calon Perdana Menteri, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata GRS juga bersetuju untuk membentuk kerajaan Persekutuan bersama PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan parti lain yang bersedia bekerjasama untuk tujuan itu.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Muhyiddin dalam satu pertemuan dengan pemimpin GRS di Kuala Lumpur semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

“GRS berpandangan adalah perlu pembentukan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan pada kadar segera untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi sepenuhnya, khususnya dalam memuktamadkan penggubalan belanjawan untuk 2023.

“GRS sentiasa komited untuk membawa citra kesatuan demi kepentingan rakyat dan tanah air,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, GRS memenangi enam kerusi Parlimen daripada 13 kerusi yang ditandingi parti itu di Sabah manakala Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempertahankan Parlimen Beluran atas tiket PN. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image