KUALA LUMPUR: Penetapan harga siling bagi penjualan ayam adalah satu pendekatan situasi menang-menang buat pengguna dan juga penternak, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sentiasa mengadakan perbincangan bersama pemegang taruh industri untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi mereka dan pada masa yang sama menjamin kebajikan pengguna yang menghadapi isu kenaikan harga barang ketika ini.

“Bermula hari ini, kerajaan tetapkan harga siling RM9.40 dan memberikan subsidi kepada penternak sebanyak RM1.20 bagi setiap kilogram ayam. Itu akan menjadikan jumlah subsidi yang diperuntukkan adalah dianggarkan RM369 juta,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) di perkarangan Ibu Pejabat FAMA, Selayang di sini hari ni.

Rabu lepas, kerajaan memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam tetapi meneruskan subsidi dengan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Ahmad berkata kerajaan sedar akan cabaran yang dihadapi pemain industri ketika ini terutamanya dari segi peningkatan kos input pertanian yang meningkat dengan ketara akibat faktor yang tidak dapat dikawal.

“Kita bukan sahaja menghadapi masalah cuaca, malahan masalah geopolitik yang tidak stabil ketika ini berlaku di seluruh dunia terutamanya perang Rusia-Ukraine menjadikan kos input pertanian, makanan haiwan meningkat dengan begitu ketara sekali. Kerajaan memahami, sebab itu kami memberikan subsidi tersebut,“ katanya yang memberi jaminan bekalan ayam dalam negara setakat hari ini masih lagi stabil dan mencukupi.

Sementara itu, Ahmad berkata langkah untuk memansuhkan kelulusan kuota import (AP) dalam mengimport ayam dari luar negara adalah suatu langkah yang tepat kerana ia menyumbang kepada kestabilan bekalan.

“Untuk memberikan peluang kepada pengusaha lain mengimport dan memastikan kita mempunyai bekalan yang cukup, kami beri peluang dan sekarang tidak ada lagi AP,“ katanya.

Namun, beliau menerangkan walaupun AP dimansuhkan, pengimport perlu memperoleh Import Permit (IP) kerana apa jua produk pertanian masih perlu melalui pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS) sebelum dipasarkan di dalam negara.

Berkenaan program JTDLKM, Ahmad berkata program tersebut adalah satu daripada inisiatif kerajaan dalam memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan seperti ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga yang lebih berpatutan.

Beliau berkata barangan yang dijual dalam program itu yang menawarkan purata potongan harga sebanyak 10 peratus, dijangka memanfaatkan lebih 420,000 pengguna dan MAFI menyasarkan nilai jualan mencecah RM10.5 juta.

JTDLKM yang dilancarkan hari ini akan diteruskan seluruh negara dan lebih 800 program dijangka dianjurkan sehingga hujung tahun ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image