PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan umat Islam agar menghayati semangat Ramadan dengan memperkukuh disiplin diri dan menyantuni golongan kurang bernasib baik.

Berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini, beliau berkata selain meningkatkan amalan, Ramadan juga ialah “madrasah” untuk mengukuh dan menggilap semula kekuatan, keimanan, akhlak dan disiplin.

“Sebab itu ada kupasan alim ulama yang menyatakan Ramadan ini mengupas permasalahan etika yang lebih luas ... dan tentunya disiplin diri, benda yang (kita) boleh makan, benda kita tak boleh makan, benda harus yang kita boleh buat, tapi kita tak buat.

“Kemudian ia juga harus mengetuk pintu hati nurani kita untuk berbicarakan hal-hal yang terkait dengan Ramadan, maknanya usaha yang lebih untuk menambah sedekah amal jariah, dan masing-masing yang punyai sedikit keupayaan untuk menyantuni masyarakat kurang bernasib baik,” katanya.

Anwar yang baru pulang daripada lawatan rasmi selama enam hari ke Jerman, berkata sekiranya ada semangat Ramadan dalam kehidupan, masalah negara akan lebih terkawal seterusnya kejayaan itu dapat disampaikan kepada dunia luar.

“Ibadah itu harus memberi makna lebih luas, bagaimana boleh kita sempurnakan Ramadan kemudian sambut dengan pembaziran luar biasa, tidak mempedulikan nasib masyarakat miskin? Bagaimana dalam Ramadan masih lagi kita teruskan amalan mengambil komisen dan rasuah? Maknanya penghayatan tidak ada,” kata beliau.

Anwar juga menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau tidak mengambil berat soal ibadah apabila berbicara hal-hal Ramadan berkaitan kesedaran, masalah kemiskinan, soal disiplin dan tatakelola.

“Perbicaraan Islam tak boleh terlepas daripada soal yang tetap, hukumnya tetap dan ini termasuk soal-soal ibadah dalam kitab khusus, tetapi saya kata harus ibadah itu memberikan makna yang lebih luas.

“Saya harap mudah-mudahan kita dapat mengamalkan Ramadan tahun ini dengan semangat yang dianjurkan dalam agama ... (termasuk) mengukuhkan semangat kefahaman, disiplin dan tekad kita untuk memperbaik,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut bertitah supaya tidak melakukan pembaziran pada bulan Ramadan.

“Semalam, saya menghadap santai dengan Yang di-Pertuan Agong, malam ini ada majlis buka puasa. Menarik singgungan baginda dalam perbincangan santai. Baginda bertitah, buka puasa sepatutnya minum air sikit, kurma sebiji dan solat maghrib dulu.

“Sebab pembaziran, (majlis) santapan di Istana (Negara) itu kadang-kadang lumayan, hal-hal yang kadang-kadang mengingatkan kita bahawa dicermati supaya wang itu dimanfaatkan kepada orang yang memerlukan,“ kata Anwar.