JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menumpaskan sindiket “pasport terbang” yang didalangi dua lelaki warga asing, dalam Op Serkap di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada 24 Mac lepas.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata lelaki warga Pakistan dan India berumur 30 dan 35 tahun itu yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Altis ditahan berdekatan bangunan terbabit pada 6 petang hasil risikan dan maklumat orang awam.

Beliau berkata sindiket memalsukan cap pas lawatan sosial dan lanjutan permit kerja itu menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing dengan mengenakan bayaran antara RM650 hingga RM3,000.

“Sasaran utama sindiket ini ialah warga asing yang majoritinya dari Pakistan dan India yang mempunyai masalah permohonan lanjutan permit kerja dan pas lawatan sosial.

“Bagaimanapun, sindiket terbabit yang dipercayai aktif sejak 2022, setakat ini tidak melibatkan bantuan warga tempatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata JIM turut merampas lima pasport negara India, enam pasport Pakistan, wang tunai RM3,455, empat telefon bimbit dan pelbagai mata wang asing berjumlah RM474 dalam operasi itu.

Baharuddin berkata lelaki Pakistan yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah disiasat mengikut Seksyen 56(1) (I) dan Seksyen 56(1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1) (f) Akta Pasport 1966 (Akta 150).

Lelaki India itu pula katanya, disiasat mengikut Seksyen 56(1A) (b) dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, mengenai Program Repatriasi Migran, Baharuddin berkata 1,321 pendatang telah mendaftarkan diri dengan warga Indonesia mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 987 orang, diikuti India (100), Bangladesh (97), Pakistan (95) dan lain-lain termasuk dari Myanmar, Filipina dan Thailand serta negara Timur Tengah.

Beliau berkata RM660,500 kompaun telah dikutip dengan 1,030 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang setakat ini menerusi Terminal Feri Stulang laut, Terminal Feri Pasir Gudang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.

Program yang dijalankan sepenuhnya oleh JIM tanpa penglibatan orang ketiga itu merupakan satu inisiatif kerajaan bagi memberi peluang kepada pendatang tanpa izin pulang ke negara mereka atas kesalahan tinggal lebih masa, tiada pas atau permit sah dan melanggar syarat pas.