KUALA LUMPUR: Kenaikan harga barangan di bazar Ramadan bukan disebabkan pelaksanaan cukai perkhidmatan, sebaliknya berpunca daripada kos sewa tapak yang tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kos sewa tapak yang tinggi antara lain turut disebabkan terdapat peniaga yang menyewanya daripada ejen yang mengambil kesempatan mengenakan caj yang tinggi dan bukannya menyewa secara terus daripada majlis perbandaran.

“Saya akui ada sedikit impak kenaikan harga, tetapi saya tidak fikir oleh kerana cukai perkhidmatan yang menyebabkan ia (harga barang) naik kerana dari segi kajian Jabatan Perangkaan, kenaikan itu hanya sekitar 0.2 peratus dan bazar Ramadan tiada kena mengena langsung dengan cukai perkhidmatan,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini bagi menjawab soalan tambahan yang diajukan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) tentang impak kenaikan cukai perkhidmatan yang dilihat memberikan kesan dari segi daya beli pengguna sehingga menimbulkan rungutan dalam kalangan peniaga bazar Ramadan.

Anwar menjelaskan sekiranya kerajaan tidak melaksanakan cukai perkhidmatan, ia dikhuatiri akan menimbulkan kesan negatif kepada ekonomi dan hasil negara.