KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar kasut Vern’s hari ini memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia berhubung logo yang didakwa seakan-akan mirip kalimah Allah pada tapak kasut keluarannya.

Syarikat itu juga memaklumkan bahawa mereka sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang memperlekeh atau menghina mana-mana agama, kepercayaan dan mengharapkan belas ihsan untuk memperbaiki kesilapan yang telah berlaku.

“Pihak kami telah mengambil langkah segera berhenti jual dan bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut,“ menurut kenyataan syarikat itu di Facebook hari ini.

“Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,“ katanya.

Syarikat itu turut menjelaskan logo pada tapak kasut keluarannya adalah 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi.

Pengurusan Vern’s juga mengakui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak.

Syarikat itu turut memuat naik gambar kasut yang didakwa menjadi ilham kepada logo itu.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi tiga minit di media sosial berkenaan seorang lelaki mendakwa kasut Vern’s yang dibelinya memaparkan logo dipercayai seakan kalimah Allah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam maklum balas berkaitan isu itu berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut, esok.

Mohd Na’im yang menegaskan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya jelas membuat tindakan yang menghina agama Islam, turut meminta semua pihak bertenang dan memberikan ruang kepada JAKIM dan pihak berkuasa melakukan siasatan.