KUALA LUMPUR: KK Supermart & Superstore Sdn Bhd hari ini memfailkan saman terhadap syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd dan Pengarahnya, Soh Chin Huat atas dakwaan melanggar perjanjian serta mensabotaj rangkaian kedai serbaneka itu berhubung pembekalan stoking tertera kalimah ‘Allah’ tanpa pengetahuannya.

KK Supermart selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan David Gurupatham & Koay di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menamakan Soh serta syarikat berkenaan sebagai defendan pertama dan kedua.

Peguam Datuk David Gurupatham, yang mewakili KK Supermart, ketika dihubungi Bernama mengesahkan pemfailan writ dan tuntutan saman itu.

Menurut pernyataan tuntutan plaintif, satu perjanjian telah dimeterai antara plaintif dan kedua-dua defendan pada 1 Dis 2021 yang menyaksikan plaintif bersetuju membenarkan defendan membekalkan barang-barang untuk dijual secara konsainan di premis miliknya tertakluk kepada terma dan syarat dalam perjanjian itu.

Pada 5 Feb lepas, defendan kedua telah memohon kebenaran untuk membekalkan penutup tangan di cawangan kedai serbaneka itu dan dipersetujui oleh plaintif.

Bagaimanapun, KK Supermart mendakwa defendan secara cuai atau melulu menjual stoking tertera kalimah Allah tanpa pengetahuan atau persetujuannya di premis plaintif di Bandar Sunway yang menyalahi undang-undang serta melanggar perjanjian yang dimeterai.

Menurut plaintif, defendan sepatutnya tahu perkataan yang digunakan pada stoking itu melanggar undang-undang mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana ia mungkin melukakan agama orang lain.

KK Supermart mendakwa berdasarkan rekodnya, pada tarikh berkenaan defendan telah meletakkan barang-barang (stoking) di atas rak kedai serbaneka itu tanpa pengawasan pekerja plaintif kerana hanya seorang yang bertugas sebagai juruwang manakala dua lagi tidak bekerja.

Oleh itu, plaintif mendakwa defendan sengaja mensabotaj peniagaannya selain memusnahkan nama baik serta reputasi syarikat berkenaan dan akibat tindakan defendan, KK Supermart mendakwa perniagaannya diboikot dan menerima komen negatif daripada orang ramai.

Sehubungan itu, KK Supermart menuntut ganti rugi berjumlah RM1.5 juta akibat kehilangan pendapatan, ganti rugi RM10,500 terhadap kerosakan syarikat plaintif selain ganti rugi RM20.3 juta akibat cadangan penyenaraian (IPO) syarikat yang dibatalkan di bursa saham.

Plaintif turut memohon, antara lain, perintah mahkamah agar defendan menanggung kerugian berhubung tindakannya selain perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menyebabkan kerugian dan kerosakan kepada KK Supermart.