MELAKA: Tiada lagi alasan atau penangguhan dalam menyelesaikan masalah banjir kilat di Melaka khususnya melibatkan kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya selepas penubuhan Jawatankuasa Bertindak pada Selasa lepas.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abdul Halim berkata jawatankuasa yang ditubuhkan selepas kejadian banjir kilat di beberapa kawasan dalam parlimen itu minggu lepas akan meneliti semua penyelesaian telah dirangka secara mikro serta makro dan pelaksanaanya akan dilakukan segera.

“Hasil mesyuarat kita telah mendapat banyak input yang bukan sahaja daripada pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai daerah dan agensi tetapi juga wakil penduduk terutama di kawasan terjejas banjir.

“Saya juga telah meminta Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) mengeluarkan satu senarai pembaikan kecil yang boleh dibuat dalam Hang Tuah Jaya ini agar kita boleh mohon dana tambahan daripada kerajaan,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Hang Tuah Jaya di Dataran Mat Riau Bukit Baru di sini malam tadi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata beliau telah meminta setiap perkembangan dilaporkan secara mingguan selain menetapkan tempoh tertentu seperti menyediakan senarai kawasan yang perlukan pembaikan berkaitan saliran untuk mencari penyelesaian sementara.

Sementara itu, Adam Adli berkata hasil mesyuarat turut memaklumkan saliran tersumbat serta kegagalan kolam tadahan dan Sungai Putat untuk menampung jumlah hujan yang banyak antara faktor berlakunya banjir kilat berulang di Bukit Beruang Bestari, Bukit Beruang Utama, Ayer Keroh Height dan sekitar termasuk pesisir Sungai Putat.

“Kita harap projek tebatan banjir Sungai Putat yang sudah bermula dan dijangka siap pada 2027 dapat disiapkan segera kerana ini merupakan penyelesaian jangka panjang di kawasan banjir berulang yang lebih baik,“ katanya.

Pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Hang Tuah Jaya semalam, lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan suasana sambil menjamu selera dengan pelbagai jenis juadah raya dihidangkan melalui 10 reruai dihias bertemakan klasik tradisional.

“Kita juga mengambil beberapa tempahan kuih dan makanan daripada golongan asnaf dan vendor tempatan sebagai membantu mempromosikan produk mereka kepada masyarakat setempat dan secara keseluruhan, sambutan ini adalah medan terbaik untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat di sini,“ katanya.